Abam dahulu, ambil ijazah di University of Yamanashi, Japan. Selepas menduduki SPM pada tahun 2000, abam melanjutkan pengajian di Ambang Asuhan Jepun (AAJ), Universiti Malaya. 2 tahun abam di sana, belajar bahasa dan pada april 2013, abam dan rakan rakan, terbang ke Jepun.
Abam melanjutkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan elektrikal dan sistem dan 2018, alhamdulillah abam berjaya melengkapkan ijazah abam di sana.
5 tahun berkelana
Dalam tempoh 5 tahun abam di sana, macam macam yang abam belajar. Paling pasti tentang budaya di sana, cara hidup mereka dan macam macam lagi. Walaupun jauh di tempat orang, pengalama berada di sana sangat seronok.
Antara yang abam ingat, ialah pengalaman abam bekerja sambilan di sana. Saja abam nak ceritakan dalam entry kali ini, sebab tiba tiba pula teringat dan abam rasa, ianya satu pengalaman yang tak ramai orang ada.
Kerja pejabat pos.
Tahun ke-3 abam di sana, abam dah kurang sibuk dengan jadual kelas. Tahun pertama dan kedua, abam dah banyak lepas subjek yang wajib, maknanya tahun ke-3, subjek yang abam perlu ambil dah berkurangan. Jadi adalah masa sikit untuk mengisi masa lapang.
Abam bekerja sambilan bermula dengan menjadi tenaga tambahan di pejabat pos ketika krismas. Dah jadi lumrah, menjelang krismas, banyak kad kad dan hadiah akan di pos. Jadi, ketika itulah pejabat pos memerlukan tenaga tambahan untuk mengasingkan kad dan hadiah mengikut alamat.
Kebetulan, waktu itu cuti umum di sana seminggu. Jadi abam dan rakan rakan ambil kesempatan untuk bekerja, dari jam 6 petang hingga tengah malam. Seminggu, dapatlah gaji sebanyak hampir RM2 ribu lebih kurang. Jadilah kan, tambah tambah duit belanja di sana.
Seronok kerja pejabat pos, sebab bersama dengan kawan kawan, cumanya, agak bosan bila tiap tiap hari mengasingkan kad dan bungkusan. Kena pula bekerja di malam hari, cepatlah mata ini mengantuk.
Kerja pasaraya
Selepas kerja di pejabat pos, abam dan rakan abam mula mencari kerja sambilan yang lain. Kali ini, abam berjaya diterima di sebuah pasaraya Ogino di sana. Pada permulaan, abam ditugaskan di bahagian makanan kering, bekerja menambah stok barangan, dan susun susun barang di rak jualan. Kemudian, abam ditukarkan ke bahagian makanan, bertugas untuk membungkus makanan, menanda harga, dan bantu masak makanan yang boleh dimakan terus.
Kerja di pasaraya ini, bermula dari jam 530 petang hingga jam 930 malam. Abam bekerja 6 hari seminggu. Agak penat tapi seronok. Abam banyak belajar berbahasa jepun di sini, berkenalan dengan rakan rakan jepun, dan macam macam lagi.
Di sini juga, abam belajar tentang disiplin kerja. Orang jepun sangat komited dan disiplin, apa yang ada dalam SOP, wajib diikut. Bos abam ketika tu, setiap hari akan sibuk memikirkan strategy baru untuk melariskan jualan. Komited sungguh dia dengan tugasnya. Banyak abam belajar dari dia, tentang tugas dan disiplin. Seronok.
Memang sibuk abam di situ, tapi seronok bila jualan habis dan paling best, jika ada makanan lebih, yang mana boleh dimakan, boleh lah abam bawa balik. Gaji disini juga lumayan, sebulan abam dibayar hampir RM5 ribu. Seronok kan?
Kerja hantar suratkhabar.
Hampir setahun abam bekerja di pasaraya Ogino. Tahun terakhir abam di sana, abam beralih arah untuk mencuba kerja sambilan sebagai penghantar suratkhabar. Gaji sehingga RM10 ribu, membuatka abam terus tak fikir panjang, walaupun kerja ni paling mencabar.
Abam bekerja setiap hari bermula jam 3 pagi, sehingga 5 pagi. Tiada cuti, melainkan harus minta awal. Setiap hari, abam wajib untuk hantar suratkhabar ke 300 rumah. Tak kira apa cuaca sekalipun, abam harus hantar. Mencabar kan?
Hantar suratkhabar di jepun, tak sama dengan di negara orang putih seperti dalam filem tu. Di jepun, surat khabar tidak boleh dibaling dari jauh, wajib untuk diletakkan di tempat tempat khas atas permintaan pelanggan. Ada yang kena masuk dalam peti surat, ada yang di dalam kotak di tepi pintu, wajib hantar pada masa yang tertentu dan macam macam lagi. Jika tidak ikut permintaan mereka, hilanglah pelanggan.
Dikejar anjing, bergolek di dalam salji, basah lencun kena hujan, perkara biasa. Memang itulah lumrah penghantar surat khabar. Penat, tapi disebabkan gaji yang lumayan, abam layan je. Setahun juga abam bekerja, alhamdulillah, dengan duit bekerja inilah, abam boleh menyimpan, buat bekalan untuk balik ke malaysia.
Manfaat dari bekerja sambilan
Selain dari 3 kerja di atas, abam juga pernah bekerja dengan syarikat pindah ofis, bekerja menghantar kereta, dan bekerja di kedai roti. Cuma yang lain ni, tak lama abam bekerja dan banyaknya ketika cuti sahaja.
Yang pasti, selama bekerja macam macam ni, banyak yang abam belajar, antaranya:
- Perkasakan bahasa jepun – ketika bekerja, abam tiada pilihan lain selain dari berbahasa jepun. Malu pada awalnya, tapi apa yang abam suka, mereka tidak pandang rendah pada abam. Malah mereka lah yang banyak perbetulkan bahasa abam. Rupanya, bahasa dalam buku, lain dengan bahasa pertuturan harian. Ini banyak membantu abam dalam belajar abam.
- Boleh simpan duit – dengan pendapatan dari bekerja sambilan ni, abam berjaya menyimpan. Awal 2 tahun pertama, abam banyak berjalan, jadi banyak lah duit habis. Jadi, dengan bekerja sambilan inilah abam mula menyimpan, buat bekal bila pulang memulakan hidup di malaysia nanti. Alhamdulillah, banyak juga yang abam berjaya kumpul dan bawa balik. Hehehe
- Disiplin dan budaya bekerja orang jepun – memang betul, orang jepun sangat komited dan disiplin. Tak hairanlah kenapa mereka boleh maju dengan cepat. Jarang abam tengok mereka “mengular” ketika bekerja dan mereka sangat rajin dan sanggup pulang lambat sekiranya tugasan belim selesai. Di sini abam banyak belajar tentang dunia pekerjaan.
Rindu
Alhamdulillah, walaupun abam bekerja sambilan, tugas sebagai seorang pelajar tak abam abaikan. Penat, tapi disebabkan berbaloi, abam seronok dengan pengalaman ini. Abam belajar untuk mengurus masa, bekerja dengan disiplin dan semua itu sangat membantu abam di alam pekerjaan sekarang.
Tersenyum sendiri abam saat menulis entry kali ini. Rindu dengan kehidupan dan pengalaman di negara jepun dulu. Kalau diberi peluang, abam teringin sebenarnya tinggal di sana. Pengalaman di sana, abam bawa pulang dan guna di sini sekarang.
Apapun, walau di sana seronok, tapi rezeki di tempat sendiri juga yang paling best. Cukuplah abam dapat merasa pengalaman yang sedikit ni di sana, dan ianya akan jadi kenangan dalam hidup abam sampai bila bila.
Pada adik adik yang masih di negara orang, cubalah timba pengalaman bekerja di sana. Cuma jangan sampai lalai dalam pelajaran ok. Seronok tau.
Ok, cukuplah dulu untuk kali ini. Nanti, abam ceritakan lagi kenangan di jepun dulu ya. Jumpa lagi sahabat!
Abam Meso, bekas pelajar jepun❤️
Every experience in your life is being orchestrated to teach you something you need to know to move forward – Brian Tracy
Leave a Reply