Assalamualaikum & selamat sejahtera.
Ada yang baru bermula dan masih mencari cari rentak? Atau ada yang masih berfikir untuk sertai bidang kejurujualan? Tak tahu bagaimana nak bermula? atau ada yang risau untuk bermula?
Untuk entry kali ni, abam nak berkongsi serba sedikit kepada sahabat sahabat yang baru hendak bermula dalam bisnes, khasnya dalam bidang kejurujualan. Tak kira lah apa pon produk yang hendak dijual, insyaAllah ianya boleh diaplikasikan.
1) Fahami produk
Kefahaman tentang produk, adalah sangat penting sebelum kita boleh menjual. Untuk bermula, pastikan anda faham serba sedikit tentang apakah produk yang akan anda jual.
Produk terdiri daripada produk fizikal (tangible product) dan produk maya (intangible product). Produk fizikal adalah sangat jelas, bermakna ada fizikal produk untuk dijual. Produk yang nampak di mata dan produk yang boleh ditunjuk. Produk maya pula, adalah produk bukan fizikal, contohnya seperti insurans atau pelaburan. Kedua produk ini adalah berbeza cara jualan nya.
Kefahaman tentang produk, bukan sahaja faham tentang ciri ciri produk, tetapi anda juga harus faham tentang USP (unique selling point) atau manfaat sesuatu produk tersebut. Ini penting untuk anda membina target yang betul untuk anda promosikan produk anda.
Jangan risau. Tak perlu terlalu dalam untuk memahami sesuatu produk. Kita bukannya perlu tahu terlalu terperinci kerana kita bukan mencipta produk baru. Cukup dengan fahami ciri ciri produk dan manfaat yang ringkas tentang produk.
Hati hati, terlalu lama masa yang diambil, akan menyebabkan anda lambat untuk bermula. Ini akan merugikan anda. Dalam menjadi jurujual, bermula dengan pantas adalah sangat diperlukan.
2) Pilih produk yang senang dijual
Sesetengah syarikat, sememangnya mempunyai berbagai produk. Sebagai permulaan, kita tidak akan mampu untuk menjual kesemuanya. Jadi sebagai permulaan, pilih 1 produk yang anda yakin boleh anda mulakan promosi anda.
Betul, lain produk kemungkinan lain komisen nya. Tetapi, soal motivasi dan mood juga penting. Untuk permulaan, anda perlukan jualan yang pertama untuk anda bermula. Jualan yang pertama akan membantu anda untuk lebih yakin untuk meneruskan promosi.
Jadi, pilih produk yang anda yakin. Terpulang pada anda. Ada yang melihat dari harga, ada yang melihat dari manfaat. Terpulang, asalkan anda boleh bermula. Cari mood dan motivasi dengan 1 jualan dahulu dan anda akan teruskan dengan gembira selepas berjaya dengan jualan pertama anda.
3) Kenal pasti target prospek
Untuk permulaan, anda perlu kenal pasti, pada siapa anda ingin promosi kan produk anda. Cuba untuk meminimakan “rejection” dengan target prospek yang betul. Contoh yang paling senang, mulakan dengan orang yang anda kenal atau orang sekeliling anda dahulu.
Soal kepercayaan juga memainkan peranan yang besar. Jika anda masih baru, anda akan mengambil masa yang lama untuk meyakinkan orang yang tidak dikenali. Soal kepercayan, soal kredibiliti akan menjadi masalah buat anda. Berbeza dengan orang orang di sekeliling anda, kepercayaan itu sudah terbina, jadi anda boleh terus jimatkan masa dan mulakan promosi anda.
Walau begitu, terpulang pada anda. Anda tahu bagaimana orang di sekeliling anda. Jika orang terdekat anda tidak sesuai, anda tiada pilihan. Cuma anda harus bersedia untuk berani memulakan. Jika orang di sekeliling anda dirasakan sesuai, mulakan dulu dengan mereka.
4) Kenali ahli pasukan
Sebagai orang baru, anda wajib kenal dengan ahli pasukan yang lain, terutama mereka yang sudah lama dalam bidang itu. Mereka semua berpengalaman dan dari pengalaman mereka, anda boleh belajar banyak perkara.
Mula dengan 0, dan mulalah untuk berkenalan. Anda tidak perlu ragu dan rendah diri, kerana dengan mengenali ahli pasukan anda, anda akan berpeluang untuk menyertai aktiviti mereka, belajar teknik teknik jualan dan memudahkan urusan anda sendiri.
Jangan malu. Untuk bermula, anda harus buang perasaan itu dan untuk bermula, anda memang perlukan rakan rakan dan bimbingan dari orang atasan anda. Jadi jangan rugikan masa dan tenaga anda, bersedia untuk belajar dan ikuti apa yang di nasihatkan. Lama kelamaan, anda akan biasa dan ketika itu, anda sudah boleh berdikari.
Pasukan jualan yang hebat, pastinya ada suasana kerja yang menarik dan bimbingan yang baik. Jadi pastikan anda dapat semua ini sebagai permulaan.
5) Pastikan ada target.
Walau anda baru, dalam bidang kejurujualan, target adalah perkara yang penting anda harus sediakan. Bermula dengan target yang kecil, untuk elakkan tekanan pada diri sendiri.
Target yang realistik dengan keadaan anda, akan membantu anda untuk disiplin dan jelas tujuan anda. Pastikan majikan atau orang atasan anda tahu tentang target anda, supaya mereka boleh membantu dari segi pengawasan kemajuan anda.
Tulis target anda dan pastikan anda betul betul yakin untuk capai. Disiplin, cara kerja yang betul akan membantu anda. Raikan kejayaan kecil untuk anda ada jiwa dalam apa yang anda lakukan. Ini boleh membantu anda untuk wujudkan rasa seronok dengan apa yang anda sedang lakukan.
Yang penting, mulakan!
Cukup 5 sahaja dulu tips ringkas kali ini untuk anda yang baru hendak bermula dalam bidang kejurujualan secara sepenuh masa atau separuh masa. Tidak kiralah apa produk sekalipon, ini adalah panduan asas bagi anda.
Yang penting, anda harus bermula. Ini hanyalah panduan. Usah fikir terlalu rumit atau usah fikir terlalu lama. Masa kan emas. Anda hanya perlu bermula dan pastikan anda bersungguh sungguh.
Semoga entry kali ini bermanfaat dan selamat maju jaya!
Abam meso, si jurujual❤️
Leave a Reply